November 19, 2006

Pengalaman seorang Jurumandi Mayat

Pengalaman seorang Jurumandi Mayat Daerah Gombak, Selangor.
Kisah benar ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar Abdul Aziz. Ia
berlaku di kawasan daerah Gombak di mana jurumandi memandikan jenazah
yang agak kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya :-




Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih daripada 20 tahun.
Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu
bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang
meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh
diri dan sebagainya.


Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di
sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu,
telah mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup 'istimewa'
sepanjang pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama
saya bertemu dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan,
menakutkan dan sekali gus memberikan banyak iktibar.


Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum pilihanraya di
Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu
tidaklah dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan
ketika saya diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah
bapanya.


Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir sampai ke rumah
Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat busuk. Baunya cukup pelik
dan busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tetapi tidak pernah
saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini. Bila saya tengok wajah
Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya
seperti sedang dirundung oleh bermacam-macam perasaan...takut, cemas,
kesal dan bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur
daripada Allah SWT. Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli
oleh anak Allahyarham dan saya potong-potongkan.


Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang yang mengikuti kursus
pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya ajak mereka
membantu saya dan mereka bersetuju. Tetapi semasa memandikan mayat
itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila
memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan
perutnya hendaklah diurut urut untuk membolehkan najis keluar. Maka
saya pun urut urutkan perut Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada
hari itu amatlah mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa kerana pada
hari tersebut, najis tidak keluar daripada dubur mayat tadi tetapi
melalui mulutnya. "Lain macam saja ni", fikir saya. Lalu saya ubah
sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya urut-urutkan lagi
perutnya. Tapi najis itu tetap keluar dari mulutnya. Hati saya
berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di depan saya ini? Telah dua
kali mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia tidak akan
berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang
terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya,
keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat
yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih.
Dari mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya.


Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan waktu
kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima jam
setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu
singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak
Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan
aib dengan apa yang berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang
pembantu tadi, mereka juga terkejut dan panik. Lalu saya bacakan doa
untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke muka mereka. Saya kata
kepada mereka, "Inilah ujian Allah kepada kita".


Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi memanggil
kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang
beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki.
Seorang berada di luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila
semua anak Allahyarham masuk, saya marahi mereka. Saya mengingatkan
mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan
jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab
tersebut. Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal
menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal,
tok siak. Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka
Allahyarham pernah memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan
seorang bapa. Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini
anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka
itu.


Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk
menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja
mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup.
Hampir sebesen banyaknya. Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit
daripada penutup bilah kipas meja. Subhanallah....suasana menjadi
semakin panik. Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi
kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula
mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya
mengambil kain kafan. Saya bawa mayat tersebut ke dalam biliknya dan
tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali waris yang
terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib akan
berlaku.


Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di
atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu cukup-cukup memarasi
hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak boleh nak
ikat kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa
kain kafan itu seperti tidak mahu menerima mayat tadi. Tidak apalah,
mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki
kain, saya potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang.
Memang kain kafan jenazah itu jadi tidak berapa elok, tetapi apa nak
buat Itu sahaja yang boleh saya lakukan. Pada masa yang sama saya
berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan Kau hinakan jenazah ini ya
Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu ini". Selepas itu
saya berikan taklimat tentang sembahyang jenazah. Tiga kali taklimat
diberikan. Yang hadir cuma 13 orang saja.


Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi masalah timbul.
Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana tidak
ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis
dan sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai
kereta jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan. Dalam keadaan
itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu
meminta saya menunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van
dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia
sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di kawasan rumah
Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar. Dengan suara yang tegas dia
berkata di khalayak ramai, "Abang, saya tak benarkan kereta saya ini
digunakan untuk mengangkat jenazah itu sebab semasa hayatnya dia
tidak pernah benarkan kita naik keretanya". Renungkanlah, kalau tidak
ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya
akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa
vannya balik.


Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki
itu mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada
saya dalam


10-15 minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang
ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang
basah kuyup. Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah
lori, dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam.
Renungkanlah, pernahkah kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur
dengan lori ayam?


Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan kepada
dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami
menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara
dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat
apa-apa lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu
berlaku sekali lagi - takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila
sampai sahaja jenazah tersebut ke kuburnya, saya perintahkan tiga
orang anaknya turun ke dalam liang lahad dan tiga lagi turunkan
jenazah. Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke
bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah
bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana
datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya. Lalu saya arahkan
anak Allahyarham supaya sendalkan jenazah bapa mereka dengan kemas.
Saya takut nanti ia akan terlangkup.... na'uzubillah. Kalau mayat
terlangkup, tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi saw.


Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut.
Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia
tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang
diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan
ditenggelamkan oleh air hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan
tersebut, saya arahkan anak-anak Allahyarham supaya berhenti
menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan
bataskan. Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan
lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang.


Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak membacakan talkin, saya
tengok tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah,
dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung kalinya peristiwa
seperti itu terjadi. Melihatkan keadaan itu, saya mengambil keputusan
untuk menyelesaikan pengebumian secepat mungkin. Sejak sekian lama
terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya tidak
talkinkan. Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas.
Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan
keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang
telah dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Adakah dia pernah
menzalimi orang alim, mendapat harta secara merampas, menipu rasuah,
memakan harta masjid dan anak yatim? Isteri allahyarham tidak dapat
memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu untuk memberitahu,
saya tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi sedihnya, sehingga
sekarang tidak seorang pun anak-anak Allahyarham menghubungi saya.


Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham merupakan orang-orang
yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang beristerikan
orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi
isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang
membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata
mereka menyesal membantu saya menguruskan jenazah Allahyarham kerana
anak-anak Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai musuh. Saya
bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu kepada masyarakat?
Mereka kata 'TIDAK'. Peristiwa ini akan tetap saya ingat sampai
bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita adakah kita mahu
peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita, anak
kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku
berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana
masyarakat menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?

No comments:

Post a Comment